Harga Remaja









PANTUN EMPAT KERAT
(BUDI )

Terang bulan terang di paya,
Anak kambing memakan rumput,
Jika tak kenang kepada saya,
Nama yang baik tidak tersebut


Anak merak mati tersangkut,
Mati dipanah Seri Rama,
Resam di dunia juga disebut,
Orang yang mati meninggalkan nama.

Anak itik terenang-renang,
Air pasang tenang-tenangan,
Budi sedikit bila kan hilang,
Itu jadi kenang-kenangan.

Anak ikan berlima-lima,
Mati ditimpa punggur berdaun,
Kasih tuan saya terima,
Sebagai hutang seribu tahun.

 Rangkap 1Seseorang yang berbudi namanya akan disebut dengan sebutan yang baik.

Rangkap 2
Mengikut adat kehidupan, Seseorang yang berbudi akan terus menjadi sebutan walaupun telah meninggal dunia.

Rangkap 3
Walaupun hanya sedikit budi yang ditaburkan akan tetap dikenang.

Rangkap  4
Perasaan kasih sayang yang wujud dalam diri seseorang akan menyebabkan hubungan mereka berterusan ke akhir hayat.

Makna kata
Punggur = dahan kayu yang mati
Resam = kebiasaan hidup





Latihan Pengukuhan
1.Nyatakan tema dalam pantun ini.
    Kelebihan mempunyai budi pekerti yang baik


2.Nyatakan tiga persoalan dalam pantun ini.

1.   Budi yang sentiasa dikenang walaupun telah meninggal dunia.
2.   Kasih sayang yang wujud sesama insan hasil daripada budi yang ditaburkan. 
3.   Manusia yang berjasa walaupun kecil sumbangannya tetap akan dikenang orang
4.   Orang yang berbudi akan sentiasa diterima baik dalam masyarakat



3. Nyatakan tiga nilai dalam pantun ini. 

 1.        Menghargai budi: Budi yang ditabur oleh seseorang akan dikenang walaupun
            orang itu telah tiada.

2.                   Nilai keikhlasan: Keikhlasan menghulurkan budi kepada insan lain.

3.           Mengenang budi : orang berjasa sentiasa dihargai

4.       Kasih sayang: orang yang berbudi sentiasa disayangi

4.                   Nyatakan tiga pengajaran dalam pantun ini.
1.   Kita haruslah  berbudi kepada orang lain agar disanjung oleh masyarakat.
2.   Kita mestilah ikhlas menabur budi agar kehidupan lebih sejahtera.
3.   Kita hendaklah menghargai budi yang dicurahkan oleh orang lain agar hubungan berkekalan.
4.   Jangan melupakan jasa orang lain terhadap kita agar dirinya dihargai.

5.   Berikan maksud resam di dunia.  
Adat kehidupan.
6.   Nyatakan tiga kepentingan budi yang baik terhadap seseorang.   
Kepentingan budi yang baik ialah menjadi kenangan orang lain, disebut hingga ke mati, dan   dianggap sebagai hutang oleh si penerima budi.
7.    Jelaskan dua cara anda membalas budi baik seseorang.           
Saya akan membalas budi seseorang dengan cara mengucapkan terima kasih supaya dia   berasa dihargai. Selain itu, saya akan berdoa agar orang berkenaan dipanjangkan umur    dan dimurahkan rezeki.


SAJAK HARGA REMAJA


Berapakah sebenarnya harga remaja
yang bersih
dari gelodak kecewa
bagai kehijauan daun
bagai kesegaran pohon
di pinggir perjalanan ini

Dengan apakah akan kau penuhi
piala remajamu
adakah cuka kesangsian
dari cinta murah
atau madu ajaran
dari ilmu susah?

Remaja amat mahal
            sesungguhnya
Tiada terbeli oleh perjanjian
Harga remaja adalah
            pendirian
Keberanian dan ilmu.


Penuhilah remajamu
dengan ketentuan tuju



Maksud
Rangkap 1
Kepentingan usia remaja yang tinggi nilainya dalam meniti kehidupan. Jika hatinya bersih( bebas daripada gejala negatif) remaja itu digambarkan sesegar daun  menghijau dan pepohon di tepi jalan.

Rangkap 2
Penyajak membangkitkan persoalan sama ada remaja mengisi hidupnya dengan kelalaian dan kelekaan mengejar cinta berlandaskan nafsu atau zaman remaja digunakan untuk mempelajari pelbagai bidang ilmu yang sukar dicari.
Rangka 3
Kehidupan zaman remaja amat bermakna dan tidak dapat dijual beli. Remaja perlulah mempunyai keteguhan pendirian atau jati diri dan keberanian untuk menuntut ilmu.
Rangkap 4
Penyajak menyarankan agar remaja mempunyai hala tuju atau matlamat yang jelas dalam hidupnya.



Latihan pengukuhan

1.      Nyatakan tema sajak di atas.
2.      Nyatakan 3 persoalan dalam sajak di atas.
3.      Nyatakan 3 nilai dalam sajak di atas.
4.      Nyatakan 3 pengajaran dalam sajak di atas.
5.      Apakah ciri remaja yang berharga.
6.      Apakah permintaan penyajak kepada remaja pada akhir sajak?
7.      Pada pendapat anda, apakah kesan yang akan berlaku sekiranya remaja tidak mengisi masa remaja dengan perkara-perkara yang berfaedah.
8.      Apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh remaja untuk mencapai hala tuju hidupnya.




Jawapan Sajak Harga Remaja

  1. Ketinggian nilai remaja yang mengisi hidup pada usia muda.

  1. Persoalan jati diri/ identiti diri dalam jiwa remaja. Kedua, Keberanian remaja mengharungi halangan hidup. Ketiga, Kepentingan menuntut ilmu ketika usia muda. Seterusnya, Matlamat dan hala tuju hidup remaja.

  1. Nilai keberanian; Sebagai contoh, remaja berani menempuh liku-liku hidup. Kerajinan/kegigihan : menuntut ilmu. Rasional: membezakan perkara baik atau buruk sesuatu tindakan. Kebijaksanaan: menentukan masa depan. Keyakinan: Yakin akan diri sendiri untuk berjaya. Menghargai : Menghargai usia muda.

  1. Pengajaran pertama ialah remaja perlu mengisi hidup remaja dengan amalan yang sihat dan berfaedah supaya tidak terlibat dengan perbuatan negatif. Kedua, kita mestilah rajin berusaha dan menuntut ilmu demi masa depan yang cerah. Ketiga, remaja harus berani menempuh liku-liku hidup supaya halangan hidup dapat diatasi. Remaja perlu mempunyai pendidikan dan berilmu pengetahuan supaya hidup lebih terjamin. Kita perlu mempunyai pendirian yang tetap dan yakin akan diri sendiri supaya kehidupan kita lebih berjaya.


  1. Hatinya bersih dan bebas daripada gejala sosial.

  1. Memenuhi zaman remaja dengan mempunyai hala tuju atau matlamat  yang jelas



  1. Kesan yang pertama  ialah jati diri / identiti akan hilang. Selain itu, masa depan akan musnah kerana tiada ilmu pengetahuan. Merugikan keluarga dan masyarakat kerana tiada sumbangan. Mudah terjebak dengan gejala negatif. Lahir remaja yang tidak berilmu pengetahuan.


  1. Usaha yang pertama ialah remaja harus berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan. Mendengar nasihat daripada ibu bapa. Mengamalkan ajaran agama yang sempurna. Menjadikan halangan sebagai perangsang untuk terus berjaya.


PELAYARAN YANG PENUH PERISTIWA

1.         Siapakah yang tidak muntah dalam pelayaran itu? (m/s 31)
Tuan Puteri Dayang Seri Jawa, Si Kembang Cina, Awang Sulung Merah Muda
2.         Apakah permintaan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa kepada Awang Sulung setelah dia letih? (m/s 31)
            Menggantikannya sebagai jurumudi
3.         Mengapakah Tuan Puteri Dayang Seri Jawa tidak mahu berehat? (m/s 32)
            Ingin berdua-duaan dengan Awang Sulung Merah Muda
4.         Mengapakah Tuan Puteri Dayang Seri Jawa meminta Awang Sulung berlabuh di Pulau Tapai? (m/s 32)
            Mengambil kayu dan air
5.         Apakah janji Tuanku Nakhoda Tua kepada orang yang menyelamatkan geliung itu? (m/s 33)
            Mengahwinkannya dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
6.         Apakah keganjilan yang dilakukan oleh Awang Sulung ketika mengambil air? (m/s 33)
            Berkayuh ke tengah laut untuk mengambil air
7.         Apakah keganjilan Awang Sulung ketika mengambil kayu api? (m/s 34)
            Mengambil batang nipah
8.         Mengapakah Tua Puteri Dayang Seri Jawa marah akan Si Kembang Cina? (m/s 34)
            Memberi makan kepada Awang Sulung Merah Muda sisa nasi di dalam tempurung
9.         Apakah yang terjadi kepada air masin yang telah diambil oleh Awang Sulung dari tengah laut? (m/s 34)
            Berasa manis seperti air serbat
10.       Apakah reaksi orang di dalam geliung apabila lanun menyerang? (m/s 35)
            Melarikan diri
11.       Apakah yang dilakukan oleh Awang Sulung dengan limau selimput pagar dan sabun wangi? (m/s 35)
            Mandi dan menggosok badan
12.       Mengapakah Si Kembang Cina terpesona melihat Awang Sulung? (m/s 35)
            Awang Sulung Merah Muda amat kacak

13.       Apakah reaksi lanun-lanun apabila mendengar suara Awang Sulung? (m/s 37)
            Takut dan gementar
14.       Mengapakah Tuan Puteri Dayang Seri Jawa hendak terjun ke laut? (m/s 37)
            Awang Sulung Merah memberitahu dia ingin pulang ke Bandar Mengkalih
15.       Apakah yang hendak diisi oleh lanun ke dalam geliung itu? (m/s 40)
            Wang dinar emas
16.       Apakah dakwaan jurumudi kepada Tuanku Nakhoda Tua bagi mengahwini Tuan Puteri Dayang Seri Jawa? (m/s 40)
            Dialah yang menyelamatkan geliung itu daripada serangan lanun
17.       Siapakah yang sebenarnya menyelamatkan geliung itu menurut Tuan Puteri Dayang Seri Jawa? (m/s 41)
            Awang Sulung Merah Muda
18.       Mengapakah Awang Sulung tidak mahu menghadap Tuanku Nakhoda Tua seperti yang diperintah? (m/s 41)
            Dia anak sakai yang tidak layak menghadap
19.       Apakah yang diperintahkan oleh Tuanku Nakhoda Tua kepada Mualim Cik Mas? (m/s 42)
            Mengahwinkan Awang Sulung Merah Muda dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
20.       Siapakah sedang berehat di atas peterana di magun ketiak geliung berlabuh di Negeri Pati Talak Terengganu? (m/s 45)
            Tuan Puteri Pinang Masak
21.       Apakah cadangan Tuan Puteri Pinang Masak kepada raja kerana tidak bersetuju Bujang Selamat  berulang-alik untuk bertanya orang di atas geliung itu? (m/s 46)
            Menjemput tetamu di atas geliung ke istana
22.       Mengapakah rakyat Negeri Pati Talak Terengganu hairan ketika Awang Sulung tiba? (m/s 46)
            Alat kebesaran berbunyi sendiri dan alam seolah-olah menyambut kedatangannya
23.       Mengapakah rakyat Negeri Pati Talak Terengganu hairan ketika Awang Sulung berpantun? (m/s 47)
            Gigi Awang Sulung Merah Muda yang cantik dan bercahaya-cahaya
24.       Ke manakah Awang Sulung pergi sebelum ke balairung seri? (m/s 47)
            Ke gelanggang laga ayam
25.       Apakah keputusan yang melibatkan pertarungan ayam laga Awang Sulung iaitu Kinantan Suci? (m/s 50)
            Kinantan Suci menang
26.       Pada pandangan anda, mengapakah hanya Tuan Puteri Dayang Seri Jawa, Awang Sulung dan Si Kembang Cina sahaja yang tidak mabuk dalam pelayaran itu? (KBKK)
            Mereka biasa belayar, mereka berada di hadapan geliung, mereka memakan ubat tahan mabuk
27.       Adakah wajar Tuanku Nakhoda Tua ingin menaikahkan anaknya dengan sesiapa sahaja yang berjaya menyelamatkan geliung itu? Berikan alasan anda. (KBKK)
            Wajar kerana untuk menaikkan semangat anak geliung, nilai nyawanya amat besar, lanun di lautan amat bahaya
Tidak wajar kerana anaknya mungkin tidak berkenan, mendapat calon yang tidak baik, seolah-olah anaknya tidak berharga
28.       Apakah hukuman yang sesuai dikenakan kepada jurumudi atas kesalahan berbohong? (KBKK)
            Melakukan kerja amal, lucutkan jawatan, meminta maaf secara terbuka
29.       Apakah yang perlu dilakukan oleh Tuanku Nakhoda Tua supaya Awang Sulung memaafkan kesalahannya? (KBKK)
            Merayu, mengahwinkan dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa, memberikan hadiah kepadanya
30.       Pada pandangan anda, mengapakah alat kebesaran berbunyi sendiri apabila Awang Sulung tiba? (KBKK)
Awang Sulung Merah Muda keturunan mulia, ada daulat, anak raja berpengaruh




Jawapan
(i)            …Tuanku Nakhoda Tua yang sudah tua itu tidak dapat memberikan pendapat    atau membuat tindakan yang betul

(ii)          …kerana mata ayahandanya sudah kabur, yakni ayahandanya tidak menyiasat    lebih dahulu kedudukan yang sebenar

…kerana telinga ayahandanya sudah  pekak,yakni mudah diperdayakan oleh    jurumudi

(iii)         wajar:
…pada pandangan Tuanku Nakhoda Tua, jurumudi banyak jasanya
… Tuanku Nakhoda Tua yakin bahawa jurumudi yang telah menghapuskan      lanun
… Tuanku Nakhoda Tua perlu mengotakan janjinya
…anak seharusnya mengikut perintah ayahnya

Tidak wajar:
… Tuanku Nakhoda Tua sepatutnya menyelidik kebenaran kata-kata jurumudi     lebih dahulu
… Tuan Puteri Dayang Seri Jawa tidak menyukai jurumudi
… jurumudi menipu Tuanku Nakhoda Tua dengan mengatakan bahawa dia   yang  menyelamatkan geliung itu daripada dirampas oleh lanun
…jurumudi seorang pengecut dan gemar mengambil kesempatan atas susah     payah orang lain

 Sinopsis (Drama Gelanggang Tuk Wali

Babak 1

Ripin telah pergi ke rumah Tuk Wali, untuk memaklum jemputan bersilat di majlis perkahwinan rumah Haji Kodri. Kedatangannya disambut oleh Mak Umi. Tuk Wali mahu memenuhi jemputan tersebut walaupun demam,. Tuk Wali juga berbual dengan Ripin tentang kerakusan manusia yang menyebabkan kepupusan spesies pokok-pokok herba di hutan sebagaimana yang dilakukan oleh Si Guan. Tuk Wali kesal oleh sebab harga akar-akar kayu semakin rendah Tuk Wali meminta Ripin memastikan murid-murid silat berkumpul kerana wartawan akan datang pada malam itu.

Babak 2

Tuk Wali bersiap-siap untuk pergi ke rumah Haji Kodri dengan berpakaian baju Melayu yang lengkap dengan samping dan bersongkok. Tidak lama kemudian, Imam dan Siak berkunjung ke rumah Tuk Wali. Kedatangan mereka disambut oleh Mak Umi. Siak menyatakan perasaan tidak senang kerana, dia masih bersilat di gelanggang. Baginya Tok Wali sepatutnya menghabiskan masa di masjid. Mak Umi mempertahankan suaminya kerana selama ini suaminya tidak pernah tinggal solat berjemaah di masjid malah mengerjakan solat sunat setiap malam. Bagi Mak Umi, Tuk Wali hanya memenuhi hajat orang untuk memeriahkan majlis, tidak melanggar adat dan agama. Mak Umi meminta Imam dan Siak bercakap dengan Tuk Wali sendiri tentang hal itu. Dia juga akan memaklumkan nasihat Siak dan Imam kepada Tok Wali.

Babak 3

Tuk Wali meluahkan rasa tidak senangnya terhadap Piee cucu tirinya, Piee yang telah memalukan dirinya di rumah Haji Kodri. Mak Umi mahu Tuk Wali mengubatkan Piee yang menagih dadah. Tuk Wali menyuruh Mak Umi menghalau Piee jika datang ke rumah itu lagi. Tuk Wali terlalu marah kepada Piee kerana dia telah mencuri wang tambang Tuk Wali ke Mekah yang berjumlah RM2000.00. Mak Umi memaklumkan nasihat Imam dan Siak kepada Tok Wali. Tuk Wali mengatakan bahawa dia boleh duduk berzikir di masjid tetapi dia juga perlu mengubatkan orang yang patah kaki, terseliuh, dan histeria. Tuk Wali mengimbas dirinya ketika muda dahulu sering dipuji,dan dianggap hebat. Apabila dia sudah tua segala yang dilakukannya dipandang tidak elok. Mak Umi mencadangkan anak-anak muridnya seperti Ripin menggantikan tempatnya untuk bersilat di majlis kahwin. Tuk Wali mengatakan bahawa silat sudah sebati dengan dirinya. Tok Wali dikunjungi oleh Ripin dan Mariam. Tuk Wali menyarankan Ripin dan Mariam mengambil tempatnya untuk mengajar silat tetapi mereka berdua tidak bersedia Mereka merayu agar Tuk Wali terus mengajarkan silat. Tuk Wali mengambil sebilah keris dan menceritakan asal usul keris tersebut Tok Wali merasakan Ripinlah yang layak untuk menjadi pewaris keris itu. Dua orang wartawan dari majalah Pejuang, iaitu Halim dan Jamil datang ke rumah Tuk Wali untuk menemu ramahnya.. Piee cucu tiri Tuk Wali yang baru keluar dari pusat pemulihan muncul. Setelah kedua-dua wartawan itu pulang, Tuk Wali menampar dan memarahi Piee kerana masuk ke dalam biliknya. Empat orang pemuda telah datang ke rumah Tuk Wali. Menyangka Tuk Wali tiada di rumah mereka bermain gitar, menyanyi sambil menari-nari. Tuk Wali memarahi mereka. Salah seorang pemuda telah ditampar oleh Tuk Wali kerana bersikap biadap.




Babak 4

Siak datang ke rumah Tuk Wali dan mencabar Tuk Wali agar bersilat dengannya. Siak berasa marah kerana Tuk Wali telah menampar cucunya yang mahu belajar silat. Mereka bertarung menggunakan sundang. Mak Umi mencari Ripin untuk meleraikan pergaduhan tersebut. Ripin berjaya mengunci pergerakan Siak. Ripin mencadangkan Tuk Wali dan Siak menyelesaikan masalah dengan cara berunding.. Mak Umi menyuruh Ripin menghantarnya ke rumah Berahim kerana dia tidak mahu melihat pergaduhan antara Tuk Wali dengan Siak. Siak akhirnya meninggalkan rumah. Tuk Wali yang kepenatan dan akhirnya terlena dibuai mimpi indah.

Babak 5

Piee masuk ke rumah Tuk Wali dan mengambil biola serta sebilah keris yang tersisip di dinding beranda itu. Tuk Wali menyedari perkara itu dan marahi Piee Kemudian berlaku pergaduhan dan pertikaman antara Tuk Wali dengan Piee. Semasa Tuk Wali ingin mengambil biola yang dijatuhkan oleh Piee, Tuk Wali ditikam oleh Piee. Tikaman itu terkena di perut Tuk Wali. Tuk Wali dapat mengambil keris daripada tangan Piee. Tuk Wali semakin lemah apabila
banyak darah keluar daripada lukanya. Ripin terkejut apabila melihat Tuk Wali yang terbaring berlumuran darah. Ripin mahu menghantar Tuk Wali ke hospital tetapi Tuk Wali enggan. Tuk Wali sempat menyerahkan keris tersebut kepada Ripin sebelum meninggal. Ripin ingin menuntut bela atas kematian Tuk Wali. Dia menyangka Siak yang membunuh Tuk Wali. Siak dan Imam muncul dan melihat Ripin memegang keris dalam keadaan Tuk Wali telah terbujur kaku. Imam menyangka bahawa Ripin telah membunuh Tuk Wali. Berlaku tuduh menuduh antara Siak dan Ripin Mariam dan Mak Umi sampai lalu menerpa ke arah mayat Tuk Wali. Mak Umi dan Mariam ingin tahu orang yang membunuh Tuk Wali. Siak dan Ripin saling menuduh sekali lagi. Mak Umi menafikan Ripin membunuh Tuk Wali.


GELANGGANG TUK WALI (Oleh: Ismail Kassan)
1.Menurut Mak Umi, sekiranya Tuk Wali menghidap demam dia boleh sembuh kerana apa? (m/s 189)
Bersilat
2. Siapakah yang akan datang pada malam itu ke rumah Tuk Wali menurut kata Ripin? (m/s 189)
          Pemberita
3.Mengapakah Ripin mengagak bahawa Tuk Wali pergi hutan pada minggu lepas? (m/s 190)
Melihat longgokan akar kayu di hujung beranda
4.Apakah yang dilakukan oleh Si Guan jika masuk hutan? (m/s 191)
Mencabut semua pokok tidak kira kecil atau besar
5.Apakah janji Ripin untuk menyambut kedatangan pemberita itu? (m/s 192)
Akan mengumpulkan budak-budak silat / anak murid silat Tuk Wali
6.Siapakah yang datang ke rumah Tuk Wali ketika Tuk Wali pergi ke rumah Haji Kodri? (m/s 194)
Imam dan Siak
7.Pada pandangan Siak, umur seperti Tuk Wali sesuai menghabiskan masa di mana? (m/s 195)
Di masjid
8.Pada pandangan Imam, apakah yang tidak manis jika berlaku kepada Tuk Wali ketika berada di tengah gelanggang? (m/s 196)
Meninggal dunia
9.Apakah reaksi Mak Umi apabila Imam dan Siak cuba mengkritik kegiatan silat Tuk wali? (m/s 196)
Tidak puas hati/ marah/ meminta Imam dan Siak meninggalkan rumahnya
10.Apakah yang dilakukan oleh Si Piee terhadap wang RM 2000 Tuk Wali yang ingin digunakan untuk tambang ke Makkah? (m/s 199)
Mencuri
11.    Apakah yang diberitahu oleh Mak Umi kepada Tuk Wali terhadap pandangan Imam dan Siak tentang kegiatan bersilat dalam majlis kahwin? (m/s 199)
Kurang manis
12.Sejak bilakah Tuk Wali bersilat? (m/s 199)
Sudah lebih setengah abad
13.Apakah peranan Tuk Wali selain bersilat? (m/s 200 dan 201)
Mencari akar kayu, meracik, mengurut, mengubat orang sakit, meminang orang, menggali kubur dan memandikan jenazah
14.Bagaimanakah Tuk Wali melepaskan geramnya? (m/s 202)
Menumbuk dan menendang beg pasir
15.Apakah permintaan Tuk Wali kepada Ripin dan Mariam? (m/s 203)
Mengambil alih tempatnya sebagai guru silat
16.Mengapakah Ripin menolak permintaan Tuk Wali (m/s 203)
Belum bersedia
17.Nyatakan sejarah Keris Ganja Seiras Naga Berjuang? (m/s 204)
Warisan daripada Panglima Kakap dari Batu Sawar
18.Siapakah yang difikirkan layak mewarisi Keris Ganja Seiras Naga Berjuang pada pandangan Tuk Wali? (m/s 205)
Ripin
19.Di manakah Tun Wali bercadang untuk mengadakan majlis penyerahan Keris Ganja Seiras Naga Berjuang kepada Ripin? (m/s 206)
Di masjid lama
20.    Apakah alasan Mariam untuk menolak permintaan Tuk Wali bagi menerima Keris Ganja Seiras Naga Berjuang itu? (m/s 206)
Keris itu bukan milik generasi muda sepertinya
21.Siapakah yang datang ke rumah Tuk Wali pada malam itu? (m/s 208)
Pemberita Majalah ”Pejuang” iaitu Halim dan Jamil
22.Apakah yang terjadi di sebuah kedai emas menurut cerita Tuk Wali? (m/s 209)
Tuk Wali menumpaskan empat orang perompak bersenjata
23.Apakah kisah lain yang lebih hebat pernah dilalui oleh Tuk Wali pada pandangan Ripin? (m/s 211)
Tuk Wali berperang mempertahankan kampung daripada serangan komunis
24.Di manakah Tuk wali bertemu jodoh dengan Mak Umi? (m/s 212)
Dalam gelanggang silat
25.Siapakah Piee? (m/s 212)
Cucu tiri Tuk Wali, penagih dadah, anak Berahim
26.Mengapakah Tuk Wali marah akan Piee? (m/s 214)
Masuk ke dalam biliknya dan disyaki ingin mencuri

27.Mengapakah Mak Umi meminta Tuk Wali tidak marah akan Piee di hadapan orang ramai?
(m/s 215)
Menjaga maruah Piee kerana Piee pun ada maruah
28.Apakah yang dilakukan oleh Tuk Wali kepada empat orang pemuda yang datang untuk belajar bersilat dengannya tetapi bermain gitar di hadapan rumahnya? (m/s 216)
Marah dan menampar salah seorang pemuda itu
29.Mengapakah Siak datang untuk bertarung dengan Tuk Wali? (m/s 218)
Marah kerana Tuk Wali menampar cucunya
30.Menurut Tuk Wali, sejak bilakah Siak berdendam kepadanya? (m/s 221)
Sejak Tuk Wali mengahwini Mak Umi yang merupakan tunang Siak

31.Apakah yang dilakukan oleh Piee ketika Tuk Wali sedang tidur? (m/s 223)
Mencuri biola dan sebilah keris
32.Bagaimanakah layanan Tuk Wali terhadap Piee pada pandangan Piee sehingga menimbulkan rasa tidak puas hatinya? (m/s 223)
Tuk Wali melayannya seperti sampah
33.Apakah yang telah dilakukan oleh Piee apabila melihat Tuk Wali mengutip biola yang dibuangnya? (m/s 223)
Menikam Tuk Wali
34.Semasa nazak, apakah amanah Tuk Wali kepada Ripin? (m/s 224)
Menjaga keris perguruan mereka
35.Apakah yang terjadi kepada Tuk Wali selepas itu? (m/s 224)
Tuk Wali meninggal
36.Siapakah yang datang ke situ ketika Ripin memegang keris di sisi mayat Tuk Wali? (m/s 225)
Imam dan Siak
37.Apakah tuduhan Imam kepada Ripin? (m/s 225)
Ripin yang membunuh Tuk Wali
38.Apakah pula tuduhan Ripin terhadap Siak? (m/s 225)
Siak yang membunuh Tuk Wali
39.Mengapakah Mak Umi tidak percaya Ripin membunuh Tuk Wali? (m/s 227)
Ripin yang menghantarnya ke rumah Berahim

40.Siapakah yang menghalang Ripin daripada membunuh Siak? (m/s 228)
Imam
41.Apakah usaha untuk mengekalkan tradisi silat di negara kita? (KBKK)
Mengajar kepada golongan muda, menjadikan aktiviti kokurikulum di sekolah dan IPT, menjelaskan kepentingan silat kepada masyarakat melalui media massa
42.Apakah kepentingan silat kepada masyarakat? (KBKK)
Menyihatkan badan, mempertahankan diri, membentuk disiplin
43.Bagaimanakah untuk menghapuskan dendam yang wujud antara Siak dengan Tuk Wali? (KBKK)
Tuk Wali mengajar silat kepada cucu Siak, orang disegani oleh kedua-dua pihak contohnya Penghulu mendamaikan mereka, merapatkan mereka melalui aktiviti di masjid
44.Pada pandangan anda, bagaimanakah hendak memulihkan Piee? (KBKK)
Kaunseling, menghantar ke pusat Serenti, mengajar pendidikan agama
45Wajarkah Siak mendendami Tuk Wali kerana mengahwini Mak Umi yang merupakan bekas tunangnya? Berikan alasan anda. (KBKK)
Tidak wajar kerana Mak Umi bukan jodohnya, Tuk Wali lebih hebat daripadanya, mereka semua sudah tua
46. Nyatakan 2 persoalan dalam drama ini.
1. Sikap hormat –menghormati dalam kalangan masyarakat terhadap orang yang berilmu.Ripin amat menyanjung tinggi Tok Wali yang telah mengajarnya ilmu silat.
 2. Masalah penagihan dadah yang sukar dirawat.Piee yang baru keluar dari pusat pemulihan kembali menagih kerana tidak dipantau oleh ibu bapanya.
3. Perasaan dengki dan khianat.
Ada pihak yang dengki kepada Tok Wali lalu menghalau Piee dari majlis perkahwinan di rumah Haji Kodri.

47.Nyatakan 2 nilai murni dalam darama ini.
1. Nilai ketegasan.Tok Wali tegas dengan pendiriannya mahu bersilat di majlis perkahwinan anak Haji Kodri kerana baginya perbuatannya itu tidak salah.
 2. Nilai keberanian.Tok Wali berani bertarung dengan Siak apabila Siak datang menyerangnya.


48.Nyatakan 2 pengajaran dalam drama ini.
1. Kita hendaklah mempertahankan warisan bangsa agar generasi akan datang berpeluang mendapat manfaatnya.
2. Kita hendaklah menghormati guru dan orang yang lebih tua daripada kita kerana mereka banyak berjasa kepada kita.








No comments:

Post a Comment